COVID-19: Uggah rakam penghargaan, terima kasih kepada petugas barisan hadapan

Azizah Alwi
Disember 31, 2020 09:54 MYT
Uggah turut berterima kasih kepada rakyat negeri itu yang sentiasa memberi kerjasama dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak atas usaha mereka mengekang pandemik COVID-19.
Beliau yang juga Pengerusi JPBN Sarawak turut berterima kasih kepada rakyat negeri itu yang sentiasa memberi kerjasama dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan jawatankuasa tersebut mahupun Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menyedari pandemik itu satu yang di luar jangka, Uggah berkata, JPBN Sarawak bersunguh-sungguh mengekang penularan pandemik tersebut termasuk menerapkan empat polisi iaitu kesan, uji, kuarantin dan pengasingan kepada mana-mana kes COVID-19.
"Dengan polisi yang diambil JPBN Sarawak itu, kerajaan negeri dapat meratakan lengkung pandemik ini. Dalam kita menunggu vaksin COVID-19, seluruh dunia termasuk berdepan dengan wabak tersebut.
"Sehubungan itu, saya menggesa masyarakat supaya kekal berhati-hati dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2021.
Dalam perutusan sama, Uggah memberi jaminan bahawa keutamaan Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak adalah untuk melindungi kepentingan dan hak Sarawak dalam memastikan negeri ini menjadi negeri termaju menjelang 2030.
Katanya, Belanjawan 2021 adalah bukti kerajaan negeri memberi komitmen penuh untuk mempercepatkan pembangunan luar bandar, meransang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan hidup rakyat.
Ia juga mencerminkan dasar inklusiviti yang memfokuskan kepada pembangunan luar bandar dalam merapatkan jurang di antara penduduk bandar dan pedalaman.
“Di bawah pemerintahan GPS, kita telah melihat banyak rancangan pembangunan yang berpusat kepada rakyat dan banyak lagi perancangan lain untuk meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya di kawasan luar bandar," katanya.
#Douglas Uggah Embas #zahir penghargaan #petugas barisan hadapan #Sarawak #perutusan Tahun Baharu 2021 #tahun Baharu 2021