RIVNE: Jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di Ukraine mencapai angka tertinggi untuk hari kedua berturut-turut, sekali gus menjadi cabaran dengan jumlah mereka yang divaksinasi juga dalam kalangan terendah di Eropah.

Hospital juga dikatakan dibanjiri pesakit COVID-19 dan para doktor mendakwa keadaan itu lebih teruk daripada gelombang jangkitan sebelum ini.

Pihak berkuasa kesihatan Ukraine melaporkan 23,785 jangkitan baharu dan 614 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir.

Pihak berkuasa di ibu negara, Kyiv, menutup sekolah selama dua minggu mulai Jumaat, dan langkah serupa diarahkan di kawasan lain yang mempunyai tahap penularan yang tinggi.

Pihak berkuasa menyalahkan peningkatan jangkitan kerana kadar vaksinasi yang perlahan di negara yang berpenduduk 41 juta orang.

Rakyat Ukraine boleh bebas memilih antara vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca dan Sinovac, tetapi hanya kira-kira 15% daripada populasi yang mendapat vaksin sepenuhnya, tahap terendah Eropah selepas Armenia.

Secara keseluruhan, negara ini telah mencatatkan lebih dari 2.7 juta jangkitan dan sekitar 63,000 kematian.