UMNO dan Pas mengambil pendekatan bersepadu bagi memastikan bantuan dari pelbagai pihak sampai kepada golongan sasar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk fasa ketiga

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, langkah itu juga bagi mengelak berlaku pertindihan serta ketirisan dalam pengagihan bantuan.

Menurutnya, penyelarasan kerjasama itu bertujuan memastikan semua pihak mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.

“Usaha yang kita buat ini supaya tidak berlaku yang pertamanya pertindihan, keduanya supaya tidak berlaku ketingggalan, itulah apa yang kita buat hari ini.

“Alhamdulilah hari ni juga kita bersama dengan Pas kawasan Besut mengedarkan jadual berbuka puasa ke rumah-rumah dan hari ini merupakan permulaan, InsyaAllah,” katanya.



Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan PKP ambang Ramadan kepada penduduk di kawasan DUN Jerteh pada Khamis.

Selain barangan keperluan harian, setiap keluarga menerima wang tunai RM100 sumbangan Yayasan Kebajikan Negara.

Muhammad Pehimi berkata, kira kira 1,000 keluarga dari empat kawasan DUN akan menerima bantuan berkenaan.

Daerah Besut dan daerah Dungun dikategorikan sebagai zon jingga bagi kes positif COVID-19 di Terengganu.