COVID-19: Varian delta bertindak agresif, jangkitan tanpa disedari - Pakar

Hilmi Ismail
Jun 20, 2021 10:19 MYT
Varian delta lebih berisiko apabila jangkitan tidak disedari sesetengah individu, kata Presiden Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Penemuan varian baharu COVID-19 yang dikenali sebagai delta disifatkan lebih agresif dan berupaya merebak dengan pantas selain telah dikesan di beberapa negara termasuk di Malaysia.
Presiden Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, lebih membimbangkan adakalanya ia tidak disedari oleh individu yang dijangkiti varian itu.
“Varian delta menyebabkan jangkitan yang meluas dan berkemungkinan mendatangkan simptom yang berlainan daripada biasa.
“Keadaan mampu menjadi serius apabila terdapat individu yang dijangkiti tidak menyedari telah diserang varian berkenaan.
“Varian ini telah wujud di Malaysia berdasarkan data yang dikemukakan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan angkanya boleh dikatakan amat membimbangkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Selain itu, Dr Ariffin mengharapkan langkah pencegahan seperti saringan yang meluas akan terus dilaksanakan pihak kerajaan.
Ini termasuk mempercepatkan program pemberian vaksin kepada seluruh masyarakat bagi memperoleh sasaran imuniti kelompok.
Dalam pada itu, penelitian terhadap kluster baharu juga perlu menjadi keutamaan khususnya melibatkan di tempat kerja, komuniti, dan institusi pendidikan bagi mengelakkan penularan tersebar dengan meluas.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian delta yang mula tersebar di India itu kini menjadi semakin dominan di peringkat global.
Berdasarkan data KKM, ia telah mengesan sebanyak 13 kes melibatkan varian berkenaan setakat 10 Jun lalu.
#COVID-19 #Pakar Kesihatan Awam #Dr Zainal Ariffin Omar #Varian Delta #koronavirus #KKM #imuniti kelompok #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #varian baharu #vaksin #Kementerian Kesihatan #jangkitan #WHO