WASHINGTON: Pengarah Institut Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci menjangkakan varian Delta akan menjadi dominan di negara itu dalam beberapa minggu akan datang.

Jelasnya, ketika ini, 20 peratus daripada kes baharu dikesan disebabkan varian itu yang menular dengan lebih pantas.

Beliau menyifatkan ia sebagai laporan yang membimbangkan.

"Kita tahu daripada pengalaman negara United Kingdom, di mana berlaku penularan lebih meluas di sana.

"Ia berubah daripada varian biasa kepada lebih 90 peratus kes diasingkan di UK.

"Jadi, dalam tempoh dua minggu akan datang, kini ia berada pada 20 peratus kes yang diasingkan, anda dapat jangkakan ia akan berganda dalam beberapa minggu akan datang atau dalam tempoh sebulan.

"Ia akan menjadi dominan. Itu yang membimbangkan," kata Fauci.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan sasaran pentadbiran White House yang mahu 70 peratus populasi menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos menjelang 4 Julai sebagai bercita-cita tinggi.

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas COVID-19 White House mengumumkan negara itu tidak akan mencapai sasaran tersebut sebelum 4 Julai seperti yang ditetapkan.

Namun, lebih 70 peratus rakyat AS berusia 30 tahun ke atas sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.