Kes positif COVID-19 di Malaysia kembali mencatatkan tiga angka dengan merekodkan 111 kes setakat jam 12.00 tengah hari pada Jumaat, 25 September 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 107 daripadanya adalah kes penularan tempatan manakala hanya empat kes import.

Menurutnya, daripada 111 kes keseluruhan yang direkodkan, 97 kes daripadanya adalah dari Sabah manakala selebihnya daripada Semenanjung Malaysia termasuk di Kedah dengan lapan kes.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,687 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 858 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Terdapat 30 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini (Jumaat). Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,696 kes.

“Daripada 107 kes penularan di dalam negara, 76 kes adalah warganegara Malaysia dan 31 kes adalah bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.




Menerusi beliau, Kluster Bangau-Bangau di Sabah merekodkan kes tertinggi dengan 74 kes positif direkodkan pada Jumaat, menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 134 kes.

Terdapat 13 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Benteng LD pada hari ini, menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 743 kes.

Sementara itu, jumlah kes positif Kluster Sungai kini merekodkan sebanyak 98 kes dengan pertambahan tujuh kes baharu dilaporkan pada Jumaat.

Tambah Dr Noor Hisham, tiada pertambahan kes kematian direkodkan pada hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal dengan 133 kes.

“Sehingga kini, terdapat empat kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan," kata beliau lagi.