KUALA LUMPUR:Malaysia merekodkan sebanyak 1,309 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam.

Daripada angka berkenaan, 1,308 merupakan penularan dalam negara manakala satu lagi merupakan kes import.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media pada Ahad memaklumkan, jumlah kes sembuh baharu adalah sebanyak 1,333 dengan jumlah kumulatif 52,647.

KKM juga merekodkan sebanyak tiga kematian masing-masing di Ipoh, Seremban dan Sabah.

"Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 493 kes (37.7 peratus), di mana 473 kes (95.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster di tempat kerja (tapak-tapak pembinaan).

"Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 290 kes (22.2 peratus) dan Selangor sebanyak 238 kes (18.2 peratus).

"Sebanyak 75 kes (5.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok (38 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (14 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (13 kes), Kluster PTS Tawau (4 kes), Kluster Penjara Reman (3 kes), Kluster GK Tawau (2 kes), dan Kluster Penjara Sandakan (1 kes)," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut berkata,empat kluster baharu telah dikenal pasti hari ini.

Kluster-kuster berkenaan ialah Kluster Tapak Bina Sungai Mulia di Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kluster Batu Lima di Kota Kinabalu, Kluster Yayasan di Klang, Selangor dan Kluster Hilir di Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan.

"Sehingga 29 November 2020, terdapat sebanyak 359 kluster telah dilaporkan termasuk empat kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini.

"Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 176 kluster termasuk satu kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Megah.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 183 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak49 kluster melaporkan pertambahan kes," jelas kenyataan itu lagi.

Kata kenyataan itu lagi, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Awan Baru (367 kes), Kluster Bintang (76 kes) dan Kluster Bayam Indah (52 kes).

Ikuti perkembangan terkini kes COVID-19 di sini