KUALA LUMPUR:Sebanyak 1,335 kes baharu dicatatkan pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan jumlah kes positif adalah 72,694 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah jumlah kes sembuh 1,069 kes menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 61,273 kes.

Beliau juga memaklumkan dua kes kematian baharu direkodkan pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 382 kes atau 0.53 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 515 kes atau 38.6 peratus dan daripada jumlah ini, negeri Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 337 kes atau 65.4 peratus.

"Ini diikuti oleh Negeri Sembilan sebanyak 258 kes (19.3 peratus) dan negeri Sabah sebanyak 250 kes (18.7 peratus).

"Sebanyak 243 kes (18.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Tembok (92 kes), Kluster PTS Sibuga (7 kes), Kluster Bakti (2 kes) dan Kluster Rumah Merah (1 kes)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan tiga kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Ceram dalam daerah Seremban di Negeri Sembilan.

Dua lagi kluster baharu ialah Kluster Pulau Berhala di daerah Sandakan di Sabah dan Kluster Jalan Tampoi di daerah Johor Bahru di Johor.

"Tiga kluster pula diisytiharkan tamat iaitu Kluster Palma, Kluster Merpati dan Kluster Makekar dan menjadikan jumlah kluster yang telah tamat adalah sebanyak 201 kluster.

"Jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187 kluster dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 49 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini," katanya lagi.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Ceram (155 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Cergas (92 kes) dan Kluster Tembok (92 kes).