KUALA LUMPUR : Kes baharu COVID-19 kembali meningkat sejak beberapa hari lalu dengan 1,671 kes lagi dilaporkan hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini menjadi 331,713 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, dua adalah kes import termasuk seorang rakyat tempatan yang mendapat jangkitan dari luar negara.


Menurutnya, Selangor terus kekal mencatatkan kes harian tertinggi hari ini iaitu sebanyak 652 kes diikuti Pulau Pinang dengan 328 kes baharu dan Sarawak  iaitu 154 kes.

"Sehingga kini seramai 151 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 64 daripadanya masih memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat empat kematian membabitkan warganegara dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian disebabkan oleh COVID-19 sebanyak 1,229 kes atau 0.37 peratus.

Beliau turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 1,585 kes sembuh dilaporkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 ialah 316,042 kes bersamaan 95.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Setakat ini kes aktif dengan kadar kebolehjangkitan adalah sebanyak 14,442 kes," jelasnya.