COVID-19: 19 kematian baharu direkod, empat BID

Astro Awani
Januari 7, 2022 00:40 MYT
Setakat tengah malam tadi, terdapat 3,259 pesakit COVID-19 ditempatkan di PKRC seluruh negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 19 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,628 orang, daripada 2.76 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, empat daripada 19 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 39,779 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 32,773 individu atau 82.4 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 3,259 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 3,494 kes dirawat di hospital dan 253 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 123 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 130 lagi memerlukan mesin ventilator.
#kes positif #bid #Kematian baharu #ICU