KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan 2,882 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, sedikit menurun berbanding semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah sebanyak 2,764,354.

Sementara itu, data COVIDNOW merekodkan pertambahan 26 lagi kes kematian dengan angka keseluruhan sebanyak 31,513 kes sejak pandemik bermula.

Jumlah itu juga termasuk tiga kes brought-in-dead (BID) atau kes kematian di luar hospital.


Setakat ini, 284 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 156 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, 3,291 jumlah kes sembuh yang direkodkan, sekali gus menjadikan angka kumulatif bagi kes sembuh adalah sebanyak 2,692,216.
 
Sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu 98.3 peratus atau  2,833 kes melibatkan pesakit tidak bergejala dan gejala ringan.

Selebihnya merupakan pesakit kategori 3, 4, dan 5 iaitu sebanyak 1.7 peratus atau bersamaan 49 kes.

Dalam pada itu, satu kluster baharu turut dikesan dengan 209 kluster masih lagi aktif sementara 5,925 kluster telah diisytiharkan tamat.