KUALA LUMPUR : Sebanyak 3,214 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif terkini adalah 2,836,159 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan daripada 3,214 kes harian, 3,179 atau 98.9 peratus terdiri daripada kategori 1 dan 2 manakala baki 35 kes (1.1 peratus) adalah kategori 3,4 dan 5.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 3,116 kes sembuh direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif ialah sebanyak 2,759,049 kes.

Sebanyak 146 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 65 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sembilan kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,892 orang, daripada lebih 2.8 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, satu kes kematian dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Untuk rekod, kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.