KUALA LUMPUR : Sebanyak 3,856 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif terkini adalah 2,832,945 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan daripada 3,856 kes harian, 3,821 atau 99.1 peratus terdiri daripada kategori 1 dan 2 manakala baki 35 kes (0.9 peratus) adalah kategori 3,4 dan 5.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 2,814 kes sembuh direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif ialah sebanyak 2,755,933 kes.

Sebanyak 143 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 14 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,882 orang, daripada lebih 2.8 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, tiada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Untuk rekod, kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.