KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 47 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,110, daripada 2,591,311 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 10 daripada 47 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 68,625 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 54,940 individu atau 80.1 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 7,529 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 5,624 kes dirawat di hospital dan 532 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 266 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 266 lagi memerlukan mesin ventilator.