KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan 4,896 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah sebanyak 2,654,474 kes.

Sementara itu, data COVIDNOW merekodkan pertambahan 17 lagi kes kematian dengan angka kumulatif ialah sebanyak 30,538 individu.

Jumlah itu juga termasuk empat kes 'brought in dead' (BID) atau kes kematian di luar hospital.


Menurut Dr Noor Hisham, setakat ini 490 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 269 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, jumlah kes sembuh yang direkodkan ialah 4,676 kes, sekali gus menjadikan angka kumulatif bagi kes sembuh adalah sebanyak 2,561,230.

Sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu 98.4 peratus atau 4,817 kes melibatkan pesakit tidak bergejala dan gejala ringan.

Selebihnya merupakan pesakit kategori 3, 4, dan 5 iaitu sebanyak 1.6 peratus atau bersamaan 79 kes.

Dalam pada itu, empat kluster baharu turut dikesan dengan 227 kluster masih lagi aktif sementara 5,742 kluster telah diisytiharkan tamat.