KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 5,218 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan sepanjang 24 jam yang lalu.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 739,266 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi dengan 1,989 kes diikuti Negeri Sembilan 629 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 469 kes.

Negeri Sarawak pula mencatatkan 409 kes diikuti Perak 400 kes harian.

Manakala negeri mencatatkan kes kurang daripada 300 kes iaitu Sabah (258), Johor (243), Kedah (194), Melaka (183), Pahang (111), Wilayah Persekutuan Labuan (108) dan Kelantan (101) kes.

Negeri Pulau Pinang pula mencatatkan 88 kes, Terengganu (23), Wilayah Persekutuan Putrajaya (8) dan Perlis lima kes harian.


Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan kes kematian baharu sebanyak 57 kes menjadikan jumlah kumulatif kini adalah 5,001 kes.

Berdasarkan jumlah kes baharu yang dilaporkan, sebanyak tujuh kes import menerima jangkitan dari luar negara.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 61,812 kes.

Setakat ini, jumlah kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 899 kes dan daripada jumlah itu, 451 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah keseluruhan kes sembuh ketika ini adalah sebanyak 672,453 kes berikutan pertambahan kes sembuh sebanyak 4,744 kes hari ini.