KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 58 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 29,349 kes, daripada 2,505,395 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, lapan daripada 58 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu berikutan proses yang mengambil masa bagi mengesahkan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut.

Sementara itu, terdapat 61,760 kes aktif COVID-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 48,042 individu atau 77.8 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 7,698 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 5,486 kes dirawat di hospital dan 534 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 271 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 263 lagi memerlukan mesin ventilator.