KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan 5,911 kes COVID-19 baharu pada Sabtu dengan jumlah keseluruhan kes sejak pandemik ini melanda negara meningkat kepada 691,115. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan Selangor masih mencatatkan kes tertinggi dengan jumlah 2,111. 

Ini diikuti dengan Negeri Sembilan (770), Sarawak (569), Johor (498) dan Kuala Lumpur (483). 

 
Sumber Facebook DGHisham
BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-19 DI SINI


Berdasarkan jumlah kes baharu yang dilaporkan, hanya terdapat satu kes import yang menerima jangkitan dari luar negara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 64,522 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan sebanyak 73 kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 4,349 kes.

Selain itu, sebanyak 886 kes setakat ini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 441 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala angka keseluruhan bagi kes pulih setakat ini telah menjadi 622,244 kes termasuk jumlah kes pulih baharu yang dilaporkan sebanyak 6,918 kes.