KUALA LUMPUR: Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini masih kekal empat digit dengan 6,241 kes baharu direkodkan setakat pukul 12 tengah hari, Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini berjumlah 616,815.

Negeri Selangor kekal merekodkan jumlah harian tertinggi dengan 2,178 kes positif, diikuti Sarawak 600 kes dan Johor 565 kes.


"Perlis pula merekodkan jumlah kes terendah dengan dua jangkitan baharu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Dr Noor Hisham memaklumkan daripada jumlah kes baharu hari ini, 14 adalah kes import manakala 6,227 membabitkan penularan dalam negara.

Selain itu, sebanyak 5,133 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatif pulih 526,809 kes manakala kes aktif kini 86,628.

Jumlah kematian akibat pandemik itu pula meningkat kepada 3,378 selepas 87 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan mangsa dalam lingkungan umur 25 hingga 89 tahun.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 890 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 444 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdahulu, Dr Noor Hisham dalam perkongsian di Facebooknya memberitahu, kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di Malaysia mencatatkan penurunan kepada 1.0 pada Jumaat.

Katanya, ia adalah Rt terendah yang dicatatkan Malaysia dalam tempoh hampir dua bulan apabila kali terakhir mencatatkan angka 1.0 pada 8 April lalu, iaitu di permulaan lonjakan terbaharu pandemik itu.

Malaysia merekodkan penurunan Rt selama tujuh hari berturut-turut daripada 1.16 pada 29 Mei lalu sebelum berkurangan setiap hari sehingga mencatat 1.0 semalam.