KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 6,630 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, jangkitan baharu itu menjadikan kumulatif kes COVID-19 yang direkodkan di Malaysia adalah 2,420,222 kes.

Ia merupakan peningkatan lebih 400 kes berbanding yang direkodkan semalam, 6,210 kes.


"Daripada 6,630 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 101 kes (1.5 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 6,529 kes (98.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejumlah 7,630 kes sembuh dilaporkan hari ini.

Sementara itu, 653 kes kini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 322 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 12 kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 580 kluster masih lagi aktif ketika ini.