KUALA LUMPUR:Malaysia mencatatkan sebanyak 835 jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 dalam negara kini ialah 28,640 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak lima kes import yang menerima jangkitan dari luar negara manakala selebihnya merupakan penularan dalam tempatan.

“Lima kes import mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan seorang warganegara dan empat lagi bukan warganegara.

“Jumlah kes aktif dengan kobolehjangkitan COVID-19 kini terdapat sebanyak 9,903 kes,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 pada Selasa.

 
Menurut beliau, dalam tempoh 24 jam juga, negeri Sabah, kata beliau, menyaksikan perkembangan positif apabila terdapat penurunan jangkitan baharu iaitu sebanyak 517 kes manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula catat pertambahan sebanyak 138 kes baharu.

Kata beliau, dalam tempoh 24 jam juga, dua kes kematian baharu direkodkan menjadikan angka keseluruhan kes kematian di negara menjadi sebanyak 238 kes.

Mengulas mengenai kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, Noor Hisham memaklumkan, setakat ini, terdapat sebanyak 89 kes sedang dirawat dan daripada jumlah itu, 32 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Malaysia juga merekodkan 674 kes yang telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 18,499 kes.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)