KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan dua kes pertama COVID-19 subvarian Delta AY.4.2 atau Delta Plus dikesan di Malaysia.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu, kes-kes tersebut merupakan kes import, iaitu pelajar Malaysia yang pulang dari United Kingdom.

“Kedua-dua rakyat Malaysia ini telah sampai di KLIA pada 2 Oktober 2021 dan telah menjalani ujian RT-PCR dan didapati negatif untuk SARS-CoV-2 bagi sampel pertama.

“Walau bagaimanapun keputusan tersebut positif apabila diuji pada sampel kedua yang diambil pada 7 Oktober 2021 semasa dalam tempoh kuarantin,” jelas Dr Noor Hisham.

Tambah beliau, sampel-sampel tersebut telah menjalani proses penjujukan genom penuh di UKM Medical Molecular Biology (UMBI-UKM) dan laporan keputusan dikeluarkan pada 30 Oktober lalu.

Jelas Dr Noor Hisham, varian AY.4 merupakan salah satu daripada 75 jenis ‘lineage’ yang berasal dari varian Delta.

“Salah satu sublineage AY.4 adalah Varian AY.4.2 yang juga dikenali sebagai “Delta Plus”. Varian AY.4.2 ini mempunyai dua (2) mutasi tambahan pada protein spike iaitu Y145H dan A222V.

“Agensi Keselamatan Kesihatan UK pada 20 Oktober 2021 telah menetapkan AY.4.2 sebagai Variant Under Investigation (VUI).”

Namun tegas beliau, vaksin yang digunakan ketika ini masih berkesan terhadap varian berkenaan, manakala langkah-langkah pencegahan seperti kuarantin dan ujian saringan dapat mengurangkan risiko penularan varian tersebut di Malaysia.

“KKM akan terus memantau dengan teliti dari semasa ke semasa bagi mengesan kewujudan subvarian Delta dalam komuniti,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Institute for Medical Research Malaysia (IMR) telah mengenalpasti sebanyak 44 kes baharu varian Delta manakala UMBI-UKM pula telah mengesan sebanyak 46 kes baharu varian Delta.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) sebanyak 3,782 kes.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 27 Oktober lalu, terdapat peningkatan kes COVID-19 varian AY.4.2 sejak Julai lalu.

Sehingga kini, varian tersebut telah dikesan di sekurang-kurangnya di 42 negara.

Tambah WHO, 93 peratus daripada kes varian AY.4.2 dilaporkan di United Kingdom setakat ini dan menyumbang kepada 5.9 peratus daripada keseluruhan kes Delta di negara itu sejak 3 Oktober.