KUALA LUMPUR:Kemunculan strain baharu yang sudah bermutasi memberikan kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan kes COVID-19.

Bagaimanapun istilah seperti mutasi, strain dan varian sedikit sebanyak memberikan kekeliruan kepada orang ramai untuk memahami perkara itu.

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, mutasi boleh didefinisikan sebagai perubahan struktur permukaan bagi sesuatu virus yang berlaku dari semasa ke semasa.

Sementara, strain terhasil apabila virus secara semula jadi mengalami perubahan pada permukaan dan struktur genetik, jelas beliau.

Jelas Dr Malina, varian pula boleh digambarkan apabila sesuatu itu berubah berlainan daripada bentuk asal atau kelaziman.

"Kalau saya nak bagi contoh, kita tengok istilah ini kepada benda yang biasa kita lihat, saya bagi contoh kereta. Kereta biasanya ada empat tayar -- dua di belakang, dan dua di hadapan. Tetapi kalau tayar itu satu depan, dua di tengah dan satu di belakang, ia adalah varian.

"Maksudnya, ia berbeza dengan kereta yang biasa kita jumpa. Jadi virus pun macam itu juga, ia mempunyai struktur yang tidak sama seperti mana yang ditemui sebelum ini, dan kita sebut sebagai varian.


Memahami varian baharu COVID-19

"Virus itu sendiri mempunyai ciri-ciri tertentu yang dinamakan sebagai strain. Maksudnya strain ini nama yang diberikan kepada virus yang telah mengalami perubahan yang ditemui," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.

Terdahulu, mutasi baharu virus COVID-19 yang dikenali sebagai A701V berjaya dikesan di negara ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata virus COVID-19 yang bermutasi itu dikesan dalam sampel Kluster Benteng Lahad Datu (LD) di Sabah, telah tersebar ke sebahagian besar kluster dalam gelombang ketiga di Semenanjung Malaysia dan Sabah.