KUALA LUMPUR: Kes COVID-19 bagi kategori serius 3, 4 dan 5 terus menurun apabila hanya 1.8 peratus atau 373 kes daripada 20,546 kes harian direkodkan membabitkan kategori berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 20,173 kes atau 98.2 peratus lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2 iaitu masing-masing tidak bergejala dan bergejala ringan.

"Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes
sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.



BACA: COVID-19: 20,546 kes baharu, Selangor tertinggi dengan 7,307 kes

Secara keseluruhan, 17,802 kes (86.64 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

"Dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius. Diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan COVID-19 di dalam negara, terutamanya kes di kategori 3 hingga 5," tambahnya.

Sebanyak 282 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 108 kes di Selangor, 45 kes di Kuala Lumpur, 44 kes di Johor, 24 kes di Pulau Pinang, 15 kes di Kedah, 13 kes di Perak, sembilan kes di Sabah, masing-masing enam kes di Sarawak dan Melaka, lima kes di Negeri Sembilan, empat kes di Pahang, dan tiga kes di Kelantan.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)