KUALA LUMPUR : Malaysia menunjukkan penurunan kes COVID-19 dua hari berturut-turut apabila 4,949 jangkitan baharu dilaporkan sekali gus menjadikan keseluruhan kes kini sebanyak 662,457.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor bagaimanapun masih kekal dengan rekod kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,523 kes diikuti Sarawak (744 kes) dan Kuala Lumpur (503 kes).



Dalam pada itu, kes kematian merekodkan pertambahan sebanyak 60 kes menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 3,968. 

Berdasarkan jumlah jangkitan baharu COVID-19, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak enam kes import dilaporkan menerima jangkitan dari luar negara. 

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 71,625 kes," katanya menerusi kenyataan pada Isnin. 

Dalam tempoh 24 jam lalu juga, sebanyak 921 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 459 pesakit memerlukan bantuan pernafasan. 

Jumlah pesakit yang sembuh juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 6,588 menjadikan jumlah 
keseluruhan kes sembuh ialah 586,864.