PUTRAJAYA: Malaysia hari ini kembali mencatatkan jumlah kes baharu COVID-19 di bawah angka 3,000, iaitu sebanyak 2,778 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan penambahan itu, jumlah kumulatif kes COVID-19 meningkat kepada 2,741,179 kes.

Sementara itu, jumlah kematian terbaharu setakat tengah malam Sabtu, ialah sebanyak 25 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kepada 31,315 orang.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, empat daripada 25 kes kematian yang dilaporkan, berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan masa yang diambil untuk proses pengesahan sama ada pesakit meninggal dunia akibat COVID-19 atau sebaliknya. 

Dalam pada itu, berdasarkan COVIDNOW, terdapat 45,591 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 38,097 individu atau 83.46 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah, manakala 3,657 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 3,513 kes dirawat di hospital dan 324 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 149 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 175 lagi memerlukan mesin ventilator.

Sementara itu, dalam kenyataan hariannya, Dr Noor Hisham berkata, nilai kebolehjangkitan (R0) seluruh negara turun kepada 0.88.

Terengganu mencatatkan R0 tetinggi iaitu pada kadar 1.0, diikuti Johor (0.95), Perak (0.94), Pulau Pinang (0.93), Kelantan (0.92), dan Putrajaya (0.91).

Mengenai situasi semasa banjir, Dr Noor Hisham berkata, Jumlah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi sehingga jam 3 petang hari ini ialah sebanyak 219.

Jumlah kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir ialah seramai 418 kes, dan kes positif di PPS seorang.

Sementara itu, sebanyak 193 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir – terdiri daripada Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) sebanyak 94 kes, penyakit kulit (67), Acute Gastroentritis (30), penyakit tangan, kaki dan mulut (1), dan konjuktivitis (1).