PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan program Trak Vaksin Bergerak bagi pemberian vaksin COVID-19 di kawasan-kawasan penularan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berhubung perkara itu.

"Kita akan mulakan 'pilot project’ (projek rintis) di projek perumahan rakyat (PPR) dan kawasan pembinaan yang masih beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

BACA: COVID-19: 1,052,145 individu telah lengkapkan dua dos vaksin - Dr Adham

Mengulas lanjut, Khairy berkata sebanyak 30 trak bergerak dijangka digunakan sepanjang tempoh awal tersebut, dengan pihaknya menyasarkan lebih 100 dos pemberian vaksin sehari bagi setiap trak. 

Katanya lagi, kerajaan akan memutuskan kemudian sama ada program Trak Vaksin Bergerak akan diperluaskan kepada skala yang lebih besar.

Berhubung pemberian vaksin, Khairy berkata setakat semalam (30 Mei), sebanyak 2,913,009 dos telah diberikan.