KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,010 kes baharu COVID-19 direkodkan di negara ini dalam tempoh 24 jam, sekali gus menunjukkan penurunan berbanding 3,074 kes pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes itu menjadikan sebanyak 2,808,347 kes dicatatkan setakat ini.

Daripada jumlah kes baharu, sebanyak 99.1 peratus atau 2,982 kes adalah pesakit Kategori Satu dan Dua, manakala 28 kes atau 0.9 peratus melibatkan Kategori Tiga, Empat dan Lima.

"Sebanyak 182 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 83 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 2,584 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh adalah lebih 2.7 juta.

Tambah beliau, sebanyak tujuh kluster baharu dikesan hari ini, dengan jumlah kluster aktif adalah sebanyak 176.

Setakat tengah malam tadi, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 19 lagi kematian akibat jangkitan COVID-19.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,781 orang, daripada 2.8 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, enam kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).