KUALA LUMPUR: Kumulatif kes sembuh COVID-19 di negara ini kini 2,401,823 kes selepas 5,579 lagi kes sembuh direkodkan sehingga 12 tengah hari ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes baharu pula mencatat penurunan iaitu 4,922 kes berbanding 5,713 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini 2,497,265.

"Daripada 4,922 kes harian yang dilaporkan hari ini, 80 kes atau 1.6 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,842 kes atau 98.4 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Sebanyak 4,912 kes tempatan direkodkan, melibatkan 4,690 warga tempatan dan 222 bukan warganegara manakala baki 10 kes adalah kes import," katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi adalah 549 kes dengan 282 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak tiga kluster baharu dikenal pasti hari ini membabitkan Kedah, Johor dan Kuala Lumpur.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata negara kini merekodkan nilai 0.94 dengan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.11 dan nilai sifar direkodkan di Labuan.

Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-- BERNAMA