KOTA KINABALU: Sabah menyatakan kebimbangan terdapat kemungkinan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini akan meningkat semula.

Jurucakap berkaitan COVID-19 negeri ini, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ia berikutan kelonggaran pergerakan menerusi kebenaran rentas daerah bermula kelmarin dan peralihan ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Isnin.

Menurutnya, hampir 39 peratus daripada kes keseluruhan yang direkodkan hari ini merupakan kes sporadik.

"Kes-kes sporadik biasanya berlaku kerana kelalaian tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa bergaul atau berada di khalayak ramai.

"Adalah dikhuatiri peralihan negeri Sabah ke Fasa 3 PPN yang membenarkan lebih banyak aktiviti sosial dan ekonomi berkemungkinan akan meningkatkan risiko jangkitan virus secara sporadik," katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.

Beliau berkata, keseluruhan masyarakat diharapkan lebih bertanggungjawab dalam mematuhi semua SOP yang dikuatkuasakan, bagi mengelakkan jangkitan virus COVID-19.

"Pembukaan semula sempadan daerah dan peralihan Sabah ke Fasa 3 PPN meletakkan tanggungjawab ke atas setiap orang menjadi benteng barisan hadapan dalam usaha kita membanteras virus COVID-19," katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, keberkesanan pengambilan vaksin dapat dilihat daripada kategori pesakit yang dilaporkan setiap hari.

"Mereka yang telah divaksin (lengkap) memiliki imuniti yang lebih tinggi, dan kalau pun dijangkiti hanya akan berada dalam kategori pesakit 1 dan 2.

"Hari ini cuma dua orang pesakit berada dalam Kategori 5 dan lima orang dalam Kategori 4. Pesakit-pesakit dalam dua kategori ini adalah mereka yang memerlukan penjagaan rapi kesan jangkitan virus COVID-19.

"Dalam masa yang sama, mereka juga berkemungkinan mengalami penyakit-penyakit lain atau belum menerima vaksin," katanya lagi.

Tambahnya, hanya tiga orang berada dalam Kategori 3, 546 orang (85.5%) dalam Kategori 2 dan 56 orang (8.8%) dalam Kategori 1.

Sebanyak 639 kes COVID-19 baharu telah dicatatkan, sementara terdapat 12 kes kematian dilaporkan hari ini.