KUALA LUMPUR : Kadar pemberian vaksin yang tinggi bukan satu indikator yang dapat menjamin kepada pengurangan kes jangkitan COVID-19 di sesebuah negeri.

Menurut Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya TS Dr Shamsul Bahari Shamsudin, mengambil kira kepada kes tertinggi di Sarawak hari ini, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap memainkan peranan penting dalam menangani kenaikan kes jangkitan.

"Kalau mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), imuniti kelompok adalah salah satu perlindungan untuk memastikan populasi atau masyarakat kita bebas daripada jangkitan sesuatu penyakit, pada masa ini, COVID-19 dan proses vaksinasi adalah merupakan salah satu indikator sahaja kepada mencapai imuniti kelompok.

"Selain daripada itu, kita pastikan bahawa proses vaksinasi ini sebenarnya bertujuan untuk mengurangkan keterukan atau severity jangkitan COVID-19.

"Bagaimanapun kes jangkitan harian ini masih boleh ditularkan, masih boleh lagi berlaku sekiranya pematuhan SOP tidak dilaksanakan dengan baik. Jadi untuk mencapai imuniti kelompok itu, nombor atau peratus vaksinasi ini tidak menggambarkan bagaimana untuk kita menurunkan kes, ianya menunjukkan bahawa kadar kes-kes jangkitan tahap tiga dan empat itu sudah dikawal," jelasnya dalam segmen AWANI Borneo pada Isnin.


Peningkatan kes positif di Sarawak
 

Ujar beliau lagi, masyarakat awam dan pihak berkuasa tidak boleh ambil mudah dengan bergantung pada indikator pemberian vaksin. Selain daripada terus mematuhi SOP, kepantasan pemberian vaksin perlu diteruskan agar rantaian jangkitan dapat diputuskan.

"Proses vaksinasi dan kepantasan sedia ada baik daripada negeri seperti Sabah dan Sarawak, pertambahan vaksin ini perlu diteruskan.

"Ini adalah merupakan salah satu indikator yang terbaik. Tetapi dalam masa yang sama, rakyat serta masyarakat dan semua pihak harus memastikan pematuhan SOP yang ketat itu terus dilaksanakan sehingga pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan, MKN membuktikan ini (kadar vaksin) dapat dibuktikan dengan bilangan kes yang semakin menurun," kata beliau.

Pada Isnin, negara merekodkan 17,352 lagi kes jangkitan harian COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kumulatif kini 1,862,187.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 3,714 kes.