KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menjalankan satu tinjauan bagi mengetahui tahap kesediaan rakyat Malaysia untuk beralih ke fasa endemik iaitu hidup bersama COVID-19.

Dalam muat naik di laman Twitter, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalu-alukan penglibatan orang ramai untuk menjawab beberapa soalan yang dikemukakan.

Tinjauan itu boleh diakses di sini.

Menerusi tinjauan dwibahasa itu, beberapa soalan diaju di mana tiada jawapan betul atau salah.

Katanya, dapatan ini akan digunakan untuk menambah baik strategi promosi dan pendidikan kesihatan dalam mendidik dan memperkasa Keluarga Malaysia untuk hidup bersama-sama COVID-19.


Sebelum ini kerajaan menyasarkan Malaysia akan beralih ke fasa endemik COVID-19 menjelang hujung Oktober.

Malaysia bakal memasuki fasa transisi 'hidup bersama virus COVID-19' sebelum beralih ke fasa endemik, dengan bilangan kes berada dalam kadar yang dijangkakan dan tidak membebani kesihatan awam.