KUALA LUMPUR: Malaysia bakal memperoleh tambahan satu juta dos vaksin secara percuma, hasil sumbangan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), kata Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, UAE sebelum ini telah menyumbang 20,000 kit ujian RT-PCR pada Mac 2020, dan 7 tan cecair sanitasi tangan khusus untuk Wisma Putra yang telah diagihkan kepada barisan hadapan diplomatik di Malaysia dan di luar negara.

Sumbangan itu, kata Hishammuddin lagi, bakal memberi nilai tambah dalam usaha kerajaan Malaysia menangani COVID-19, serta meningkatkan lagi kadar vaksinasi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Sumbangan terbaharu ini, disekalikan dengan kerjasama berterusan antara dua negara dalam bidang berlainan termasuk perkongsian maklumat, yang menggambarkan hubungan yang erat seperti Malaysia dan UAE.

“Malaysia dan UAE kekal komited untuk mengukuhkan hubungan bilateral, berdasarkan asas yang dibina dari nilai saksama dan tradisi antara dua negara, demi kepentingan rakyat bersama,” katanya lagi.


Hishammuddin, berkata, beliau mewakili Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, menzahirkan ucapan penghargaan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan, Menteri Luar UAE Sheikh Abdullah Zayed Al-Nahyan dan seluruh kepimpinan UAE atas sumbangan tersebut.