PUTRAJAYA :Malaysia mencatatkan sebanyak 801 jangkitan baharu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara kini ialah 29,441  kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak dua kes import yang menerima jangkitan dari luar negara manakala selebihnya merupakan penularan dalam tempatan.

“Dua kes import mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan seorang warganegara dan seorang bukan warganegara.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini terdapat sebanyak 10,123 kes,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 pada Rabu.


Menurut Dr Noor Hisham, dalam tempoh 24 jam juga, negeri Sabah mencatatkan sebanyak 546 kes (68.2 peratus) manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula catat pertambahan sebanyak 103 kes baharu.

Katanya, dalam tempoh 24 jam juga, lapan kes kematian baharu direkodkan menjadikan angka keseluruhan kes kematian di negara menjadi sebanyak 246 kes (0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mengulas mengenai kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, beliau berkata setakat ini, terdapat sebanyak 94 kes sedang dirawat dan daripada jumlah itu, 25 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Malaysia juga merekodkan 573 kes yang telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 19,072 kes yang bersamaan dengan 64.8 peratus.

Kemas kini kes COVID-19 di Malaysia setakat 28 Oktober 2020.⁠