KUALA LUMPUR: Peralihan negara dari fasa pandemik ke endemik dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi seperti dimaklumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein disifatkan amat mencabar untuk dicapai.

Menurut Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Shamsul Bahari Shamsudin, ini kerana, meskipun kadar vaksinasi negara sudah melebihi 80 peratus, namun, kes positif COVID-19 harian yang dicatatkan masih jauh daripada indikator yang ditetapkan iaitu dua digit.

"Saya lebih suka merujuk indikator sebagai petunjuk gerbang fasa endemik… indikator utama bagi sesebuah negara memasuki fasa endemik (adalah) memastikan jumlah baharu kes COVID-19 dapat diturunkan ke tahap paling rendah sekurang kurangnya dua digit.

"Kalau dilihat situasi semasa sekarang, mungkin ianya agak jauh lagi, dua hingga tiga minggu untuk kita mencari capai kadar kes jangkitan harian dua digit.

"Saya rasa sesuatu yang agak mencabar tetapi ianya tidak mustahil, semua pihak perlu duduk bersama dan melakukan segala aktiviti yang perlu," kata beliau dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Selasa.

BACA: Peralihan ke fasa endemik ditangguh dua hingga tiga minggu sahaja - Hishammuddin

Mengulas lanjut, Dr Shamsul Bahari berkata, beberapa indikator lain juga memainkan peranan dalam memastikan negara beralih ke fasa endemik antaranya displin rakyat dalam penjagaan kendiri bagi mengurangkan penularan COVID-19 terutama varian Omicron.

"Kesiapsiagaan dan displin rakyat itu penting dalam kita memasuki fasa endemik.

"SOP (prosedur operasi standard) kendiri, proaktif ini sangat penting kepada rakyat… vaksinasi kelompok harus melebihi 80 peratus, ini mungkin kita sudah dapat capai dos pertama dan kedua, tapi dos penggalak masih agak rendah sekitar 41 peratus.

"Jadi perlu juga diberi perhatian vaksinasi semua peringkat umur, jangan fokus dewasa, kita perlu lihat warga emas dan kanak kanak, jadi kalau kita nak lihat semua faktor ini persoalan mampukah kita capai indikator ini dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi?" jelasnya lagi.

Semalam, Hishammuddin memaklumkan, pengumuman peralihan negara dari fasa pandemik ke endemik akan dibuat dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

Penangguhan itu, jelas beliau, bagi membolehkan kerajaan mendapatkan laporan berhubung kejadian banjir, penularan varian Omicron serta kesan penularan varian itu terhadap pengembara pulang dari Arab Saudi.