PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpendirian tidak sesuai untuk diadakan pilihan raya umum (PRU), ketika ini memandangkan situasi semasa COVID-19 di negara ini, masih di tahap membimbangkan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan itu berkata, keadaan berbeza dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang terpaksa dilakukan kerana pembubaran DUN, manakala PRN Sarawak kerana tarikhnya telah tamat.

Katanya Khairy lagi, berdasarkan pembincangan beliau dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab untuk membenarkan PRU dilaksanakan, sedangkan ia masih boleh dielakkan.

“Pandangan KKM, pilihan raya umum sebenarnya boleh dielakkan … macam PRN Sarawak tak boleh elak kerana tarikhnya telah tamat tempoh, PRN Melaka tak boleh elak kerana Dewan telah dibubarkan. Jadi PRU tidak perlu dipanggil lagi.

“Pendirian KKM, tidak sesuai untuk kita adakan pilihan raya umum. Dua perkara saya tegaskan, keadaan kes yang masih lagi membimbangkan, kemasukan hospital meningkat, dan ketiga, kemunculan varian baharu ini,” katanya lagi.

Baru-baru ini timbul desakan dari pemimpin kanan UMNO dan Barisan Nasional untuk diadakan PRU dengan segera, atas alasan, bagi mengembalikan kestabilan dan menamatkan krisis pentadbiran yang melanda negara.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, merangkap Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan sebagai berkata apabila mandat dikembalikan semula kepada rakyat, barulah kerajaan yang dibentuk nanti dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau telah meminta timbalannya, Datuk Aaron Ago Dagang, untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk PRN Sarawak, memandangkan keadaannya sedikit berbeza dari PRN Melaka.

“Setiausaha Kerajaan Sarawak telah mengemukakan beberapa permintaan yang sedikit berbeza dengan PRN Melaka. Dengan hujah ada kawasan di Sarawak yang tiada capaian internet, oleh demikian agak sukar untuk laksanakan kempen media sosial.

“Semalam saya telah mengadakan sesi libat urus dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak, masih ada beberapa perkara yang perlu dipersetujui oleh KKM, sebelum boleh disyorkan pada Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya lagi.