KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dikesan di Sabah hari ini yang mana salah satunya merupakan penularan jangkitan di pusat tahanan melibatkan tiga mukim di Keningau iaitu Sebrang, Lingkudau dan Luagan.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Kluster Pagar Sebrang melibatkan kes indeks, seorang lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pegawai penjara di pusat tahanan bimbingan akhlak.

Jelasnya, setakat ini kluster tersebut mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 29 kes.

"Pada 25 Ogos lalu, Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau telah menerima kes indeks dengan keputusan RTK AG positif daripada Kampung Kadalakan Keningau yang telah dilaporkan dari Pusat Kuarantin Sementara, IPG Keningau melalui saringan kontak rapat.

"Aktiviti pengesanan kontak rapat pada 27 Ogos hingga 4 September mendapati pertambahan bilangan kes positif di dalam daerah yang sama.

"Punca yang disyaki bagi penularan kluster ini ialah jangkitan ahli keluarga kepada kes indeks yang kemudiannya menjangkiti rakan sekerja, penghuni penjara di bawah jagaan pegawai tersebut dan juga ahli keluarga beliau yang lain," katanya.

Tambah beliau, kluster ini dinamakan Pagar Sebrang kerana kluster ini terletak di sebuah institusi penjara golongan juvana, yang mana kawasan yang berpagar penuh di Mukim Sebrang.

Sementara itu, satu lagi kluster yang dikesan, iaitu Kluster Koyah di Kinabatangan, melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja yang berlaku di ladang sawit di Mukim Sukau.

"Kes indeks merupakan lelaki, 43 tahun, seorang pekerja ladang yang disahkan positif ujian RTK AG pada 20 Ogos di Klinik Kesihatan Mabello Paris, Kinabatangan.

"Kes indeks yang mula bergejala sejak 17 Ogos telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya," beliau berkata dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata, setakat hari ini, aktiviti persampelan kontak telah mengesan 25 kes positif dalam kalangan kontak sosial termasuk 19 kes baharu yang dilaporkan.


Sabah mencatatkan sebanyak 2,136 kes positif baharu, serta 33 kes kematian pada hari ini.

Sebanyak 12 kes kematian dicatatkan di Tawau, tujuh kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Kalabakan dan Tuaran, dua kes di Lahad Datu dan Penampang manakala Kudat, Papar, Putatan dan Semporna masing-masing mencatatkan satu kes.