PUTRAJAYA: Survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) akan diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada empat strategi utama kerajaan dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian COVID-19.

Sampel air kumbahan itu, jelas beliau lagi, akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19.

“Semua pengembara yang tiba dari luar negara, termasuk negara China, di PMA akan melalui saringan demam.

“Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.

"Sekiranya disyaki, ujian COVID-19 akan dijalankan,” katanya lagi.

Kenyataan itu hadir susulan kebimbangan orang awam selepas China menamatkan dasar ‘zero-COVID’nya, dan rakyat negara itu bebas mengembara ke luar negara biarpun dijangkiti COVID-19.

Dalam pada itu Dr Zaliha berkata, semua kes ILI dan SARI yang datang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara China 3 dalam tempoh 14 hari terakhir, atau mempunyai sejarah kontak dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir, akan dibuat ujian RTK-Ag COVID-19.

Seterusnya, kata beliau lagi, sampel ujian akan dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.

Bagi memperkukuhkan survelan COVID-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal, Dr Zaliha berkata, ujian lanjut ke atas sampel positif COVID-19 menggunakan teknik Whole Genomic Sequencing (WGS) dilaksanakan bagi mengesan awal kemasukan varian baharu dalam negara.

“Survelan ke atas sampel bagi kes influenza-like illness (ILI) di 59 buah klinik sentinel dan severe acute respiratory infection (SARI) di 18 buah hospital sentinel di seluruh negara masih diteruskan.

“Bagi tujuan ini, sampel ILI dihantar ke Makmal Kesihatan Awam seluruh negara, manakala sampel SARI dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian PCR dan seterusnya dijalankan penjujukan genom (WGS) sekiranya positif COVID-19,” katanya lagi.