PENDANG: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengesahkan, tiada pelancong dari negara China yang dikesan mengalami gejala dan positif COVID-19.

Menurut beliau, keputusan itu diperoleh hasil pemeriksaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas 7,193 pengembara yang tiba dari negara berkenaan yang tiba di Malaysia sejak 8 hingga 10 Januari lalu.

Sehubungan itu, jelas beliau, tiada keperluan untuk menutup pintu sempadan negara ketika ini.

"Pada hari pertama sahaja (iaitu) 8 Januari lepas, kita telah menerima lebih kurang 4,000 pelancong dari China, kemudian hari-hari seterusnya termasuk yang terakhir jumlah yang kita terima babitkan pelancong (dari China) itu melebihi daripada 7,000 orang,

"(Saya nak maklumkan) tiada langsung kes jangkitan ataupun yang bergejala yang kita kesan di pintu masuk, jadi itu adalah satu (perkembangan) yang sangat baik.

"Daripada apa yang kita lalui (sebelum ini), (amat) penting untuk kita ambil langkah-langkah berjaga-jaga, bukan sahaja pelancong dari China bahkan juga negara-negara lain," kata beliau.

Dr Zaliha berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada KKM, di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, situasi jangkitan COVID-19 di Malaysia terkawal di sebalik jumlah saringan yang tinggi dilakukan setiap hari.

Pada Selasa, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli mengesahkan, seramai 4,069 pengembara dari China tiba di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia sejak republik itu membuka sempadan negara, Ahad lalu.

Menurut beliau, pemantauan rapi akan dilaksanakan KKM dalam memantau situasi berkenaan termasuk melakukan persampelan air kumbahan bagi pesawat yang tiba dari China.