KUCHING: Tempoh sah laku keputusan ujian calitan bagi Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) COVID-19 untuk tujuan merentas daerah di Zon Selatan selepas mendapat keputusan negatif adalah selama tiga hari, selain perlu mendapatkan kebenaran pihak polis.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan keputusan ujian RTK Antigen akan diperoleh kira-kira 30 minit selepas membuat ujian calitan itu manakala ujian RT-PCR pula mengambil masa satu hingga tiga hari.

"Keputusan ini berkuat kuasa mulai hari ini di Zon Selatan merangkumi Daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu," kata JPBN dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, JPBN memaklumkan saringan ujian calitan COVID-19 boleh dibuat di Klinik Kesihatan melalui janji temu terlebih dahulu.

Hari ini, Sarawak merekodkan 2,427 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 109,723 manakala jumlah kematian akibat pandemik di negeri itu meningkat kepada 517 orang susulan empat kematian hari ini.

-- BERNAMA