KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan sebanyak 1,306 daripada 11,108 jemaah yang pulang menunaikan umrah dikesan positif COVID-19, setakat 30 Disember 2021 lalu.

"Daripada jumlah tersebut, 592 dikesan positif hasil ujian pertama pada hari ketibaan di Malaysia.

"Tetapi, paling membimbangkan adalah, 714 kes dikesan positif hasil ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi tempahan tiket perjalanan umrah yang baharu, Khairy berkata, ia ditangguhkan berkuat kuasa 1 Januari.

"Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 1 hingga 7 Januari 2022, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.

"Mereka bagaimanapun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) apabila tiba di Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata penangguhan sementara aktiviti umrah dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19.

Selain itu, ujarnya, langkah tersebut diharap dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk
membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti itu boleh dibenarkan semula.

"Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah," katanya lagi.

BACA: Arab Saudi wajibkan semula pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal di semua tempat

BACA: Omicron: Perketat SOP, bukan tangguh umrah - BUMITRA

Dalam masa yang sama, Khairy menegaskan, bukan niat kerajaan untuk menyekat perjalanan umrah selepas persetujuan untuk hidup dalam COVID-19 dibuat sebelum ini.

Katanya lagi, perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji telah dibuat untuk mencari mekanisme terbaik, termasuk menjadual semula umrah atau mendapat refund.

Khamis lalu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di semua tempat selepas kes jangkitan harian COVID-19 di negara itu kembali melonjak.

Pada Oktober lepas, Arab Saudi mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, termasuk membenarkan individu yang lengkap divaksin tidak memakai pelitup muka di tempat awam terbuka.

BACA: COVID-19: Peranti digital bukan hanya untuk jemaah umrah - Khairy

BACA: COVID-19: KKM kesan kes tidak patuh SOP kuarantin di rumah