KUALA LUMPUR: Biarpun kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pernah menunjukkan kenaikan ketika pentadbiran Pakatan Harapan pada 2019, namun rasuah sebenarnya bukanlah isu yang perlu ditumpukan terhadap kerajaan yang mentadbir semata-mata.

Koordinator Belia Rasuah Busters Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Farhan Rosli, berkata, rasuah merupakan akar yang sudah lama mencengkam dan tidak akan hilang hanya dengan perubahan kerajaan.

"Semasa era PH, kita lihat banyak idea-idea reformasi institusi dan membanteras rasuah dijadikan teras utama kerajaan.

"Tetapi apabila kerajaan bertukar, banyak timbul isu yang mencabut komitmen sebenar institusi awam dalam melawan rasuah seperti soal kontrak diberi secara direct tender, isu surat sokongan dan kes-kes rasuah membabitkan tokoh berprofil tinggi.

"Tetapi rasuah ini hal yang lebih besar, bukan setakat tentang kerajaan mana yang memerintah, kerana ini soal akar yang sudah bercambah lama.

"Kami di MBM dan PKPIM memandang ini sebagai isu nilai yang harus diubah. Ini ruang untuk orang muda melakukan perubahan.

"Orang muda di institusi awam, orang muda di NGO, di parti politik, kena terus bercakap dan melawan rasuah sebab rakyat perlu disedarkan sehingga ke tahap mereka benci perasuah," katanya ketika muncul dalam program Cerita yang disiarkan Astro AWANI, pada Selasa.

Tambahnya, kesedaran itu perlu supaya lebih ramai faham bahawa reformasi sistem sahaja tidak mencukupi sebaliknya reformasi keseluruhan diperlukan, termasuk penerimaan dan pemahaman orang ramai.

Justeru, beliau menggariskan beberapa perkara untuk ditambah baik bagi membolehkan indeks CPI negara diperbaiki secepat mungkin.

"Apa yang penting ialah kurang monopoli ahli politik, seperti memberi had kepada perdana menteri, garis waktu atau dalam kata lain, pencen ahli parlimen dan menteri.

"Kita perlu lihat rasuah sebagai isu keselamatan, sempadan negara terbuka kerana berlakunya rasuah kecil, jadi perlu ada semakan sebelum lantikan ke mana-mana jawatan penting.

"Akta Perlindungan Pemberi Maklumat pula kena diperkasakan supaya orang terlibat memberi maklumat dilindungi mengikut lunas hukum," jelasnya.

Cerita Sebalik Berita: Memulikan semula Indeks Persepsi Rasuah Malaysia

BACA: SPRM seru kerjasama semua pihak tingkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah

Semalam, Transparency International-Malaysia (TI-M) mengeluarkan keputusan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021.

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020, manakala skor Malaysia turun kepada 48 berbanding 51 pada 2020.