Cuaca baik pada waktu siang di Terengganu dan Pahang membolehkan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 13,237 orang dari 3,081 keluarga petang ini berbanding 15,677 orang dari 3,733 keluarga pada sebelah pagi, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan di Dungun ialah 2,108 orang dari 532 keluarga berbanding 3,288 orang dari 807 keluarga sebelum ini.

Di Hulu Terengganu, bilangan mangsa di pusat pemindahan menurun kepada 94 orang (26 keluarga) petang ini daripada 1,351 orang (384 keluarga) manakala di Setiu hanya 12 orang (tiga keluarga) berbanding 134 orang (46 keluarga).

Bagaimanapun, bilangan mangsa pusat pemindahan di dua daerah meningkat kepada 125 orang (27 keluarga) berbanding 42 orang (10 keluarga) di Marang manakala di Kemaman, terdapat 10,898 mangsa banjir (2,493 keluarga) berbanding 10,862 orang (2,486 keluarga) sebelum ini.

Sebanyak 64 pusat pemindahan iaitu 31 di Kemaman, Dungun (20), Hulu Terengganu serta Marang masing-masing enam dan satu di Setiu masih dibuka.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 5,577 orang berbanding 5,754 yang direkod pagi tadi manakala kesemua pusat pemindahan di dua daerah terjejas banjir telahpun ditutup.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 4 petang, terdapat 1,387 keluarga di 76 pusat pemindahan dari 69 penempatan di enam daerah yang terjejas akibat banjir.

"Daerah Lipis, yang menempatkan 16 mangsa di satu pusat pemindahan, ditutup pada 12 tengah hari manakala tiga pusat terakhir di Jerantut, yang menempatkan 57 mangsa pula ditutup pada 2 petang," katanya kepada Bernama.

Pekan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 3,241 orang di 37 pusat pemindahan, Kuantan (924 orang di enam pusat), Maran (670 orang di 13 pusat), Temerloh (404 orang 11 pusat), Bera (305 orang tujuh pusat) dan Rompin (33 orang dua pusat).