KUALA LUMPUR: Tempoh masa seminggu hingga dua minggu akan datang, Malaysia akan mengalami cuaca panas dan ribut petir silih berganti. Ini memandangkan negara berada pada musim perantaraan monsun.

Felo Akademi Sains Malaysia, Fredolin Tajudin Tangang berkata situasi ini akan menyaksikan cuaca panas kering sehingga meningkatkan risiko kebakaran berlaku di kawasan tanah gambut.

Dalam masa yang sama cuaca juga boleh berubah kepada ribut petir yang berisiko mengakibatkan banjir kilat, khususnya di kawasan bandar.

“Kita harus ambil maklum, jika berlaku kebakaran hutan terutamanya tanah gambut, ia sukar untuk dipadamkan. Dan ia pasti menyebabkan jerebu yang mendatangkan masalah lain. Kalau boleh kita tidak mahu jerebu yang berbulan-bulan kerana ia akan mendatangkan masalah kesihatan dan sebagainya.

“(Selain itu) Musim perantaraan monsun ini boleh berlaku ribut petir pada sebelah petang dan lewat petang. Ini boleh menyebabkan banjir kilat terutama di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur,” katanya dalam program Agenda AWANI.

Cuaca panas, jerebu disusuli hujan, ribut petir dalam tempoh dua minggu - Felo Akademi Sains Malaysia

Fredolin menjangkakan sepanjang bulan April dan Mei ini, Malaysia berdepan dengan kebarangkalian fenomena ribut petir yang tinggi.

Oleh itu, beliau menekankan kepentingan mengambil iktibar dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan akibat cuaca buruk tersebut.

Beliau berkata pemantauan berterusan perlu dilakukan di kawasan hutan dan semak kering bagi mengelakkan kebakaran.

Manakala memastikan sistem perparitan yang baik pula adalah langkah persediaan menampung curahan hujan lebat bagi mengelakkan banjir kilat.

Agenda AWANI: Cuaca Panas: Apa persediaan kita?