ALOR SETAR: Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sehingga kini belum menerima sebarang permohonan penutupan sekolah susulan cuaca panas melampau.

Menurutnya, tiada permohonan dikemukakan dari mana-mana sekolah dari semua negeri.

Namun katanya, KPM sentiasa memantau perkembangan semasa situasi cuaca panas yang melanda negara termasuk dua negeri yang mencatat suhu tertinggi di Kedah dan Negeri Sembilan.

"Setakat ini, belum ada. Jadi, kita mesti berhati-hati dan memantau setiap hari sebab jikalau tidak salah di Kedah pagi panas tetapi pada sebelah petang pula hujan, jadi harap (hujan) ini akan kurangkan haba sikit. Tetapi, yang utama cuaca memang hangat jadi mesti kurangkan aktiviti di luar dan kena minum banyak air,"
katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakyat, pada Rabu.

Hui Ying berkata, sekolah akan dibenarkan tutup sementara waktu sekiranya cuaca panas semakin meningkat.

"Ya. Ada arahan garis panduan kita sekiranya suhu meningkat sehingga (melebihi) 37 darjah Celsius dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan memantau dan akan tutup sekolah," katanya lagi.

Sehubungan itu, menurut beliau, pentadbir sekolah boleh memohon penutupan sekolah kepada Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing untuk kebenaran berhubung perkara ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, KPM tidak menerima laporan tentang jumlah pelajar yang terkena serangan strok haba.

"Yang di Kluang itu bukan strok haba tetapi komplikasi lain. Bagaimanapun kita mesti ambil langkah pencegahan untuk memastikan (tiada) kejadian tidak diingini berlaku," tambahnya.

Beliau turut menasihatkan warga sekolah terutamanya pelajar supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan minum air secukupnya disebabkan cuaca panas ketika ini.

Hui Ying berkata, semua aktiviti luar bilik darjah di sekolah membabitkan pelajar juga ditangguhkan susulan cuaca panas terik tersebut.

Antara lain, beliau menyatakan, KPM turut mengeluarkan kenyataan bahawa kelonggaran diberikan kepada warga sekolah termasuk pelajar untuk memakai kemeja-T sukan ke sekolah berikutan kenaikan suhu panas itu.

Sebelum itu, Hui Ying turut melawat empat sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Min, SJKC Keat Hwa S, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Barathy dan SK Taman Rakyat.

Sementara itu, beliau menyatakan, isu kekurangan guru akan diatasi segera melalui pengambilan khas guru bukan graduan pendidikan yang permohonannya dibuka sebelum ini.