Helah nelayan asing mengibarkan bendera Malaysia dan Terengganu pada tiga bot dikendali mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila kesemua bot terbabit ditahan pada Ahad.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, nelayan Vietnam itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika sedang leka menangkap ikan kira-kira 123 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Timbalan Pengarah Daerah Maritim 9 (Operasi), Komander Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, bot-bot dengan nombor pendaftaran BD 98097, BD 95047 TS dan BD 95947 itu ditahan ketika Operasi Perkasa Timur di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) bertujuan membasmi pencerobohan bot nelayan asing.

Katanya, ketiga-tiga bot itu ditahan bersama 40 orang awak-awak dan tiga orang tekong warga Vietnam berumur 18 hingga 52 tahun dan 4,000 liter minyak diesel serta 1,500 kilogram hasil laut.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot-bot berkenaan juga mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen dan kesemua mereka adalah nelayan asing yang tiada pengenalan diri.

"Kesemua mereka ditahan dan dibawa masuk ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut kerana melanggar Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.



Sementara itu, dalam tangkapan berasingan, Simon berkata, pihaknya berjaya menahan sebuah kapal bersama 50,000 liter diesel.

Bot tanpa nombor pendaftaran itu ditahan ketika sedang bersauh pada jarak 110 batu nautika dari Kerteh, Kemaman kira-kira jam 3 pagi Ahad.

Jelasnya, siasatan juga mendapati kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen lesen bot serta tidak mempunyai pelepasan perlabuhan dari negara asal dan Malaysia.

Sembilan krew kapal warga Thailand terbabit juga gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke Pangkalan Maritim, Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952.