SANDAKAN: Tindakan seorang pemuda cuba terjun dari tingkat empat sebuah apartment, dekat sini, malam tadi berjaya digagalkan anggota pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM). 

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam di Apartment Sejati Ujana, Batu Tujuh, pemuda berusia dalam lingkungan 20-an itu dipercayai cuba membunuh diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.44 malam.

Menurutnya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

Sebaik tiba, pasukan bomba menemui pemuda itu berada di tingkat empat apartmen tersebut dalam cubaan untuk terjun dari situ.

Pasukan bomba bertindak naik menggunakan tangga ke lokasi kejadian dan berjaya memujuk lelaki terbabit.

Menurutnya, lelaki itu berkata dia bertindak demikian untuk bersembunyi dan melarikan diri kerana mendakwa ada individu ingin memukulnya.

Pemuda berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan lalu dibawa turun sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.40 malam.


Bagi yang memerlukan perkhidmatan sokongan emosi, boleh menghubungi talian tertera:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WHATSAPP Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan)
KSK-Care JAKIM di WHATSAPP 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929