ISKANDAR PUTERI: Jabatan Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesahkan terdapat cubaan menyebarkan ajaran sesat Hadi Minallah di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, terdapat cubaan anggota ajaran sesat berkenaan menyebarkan fahaman terbabit di daerah Kota Tinggi.

"JAINJ dapat maklumat ajaran ini cuba dibawa masuk ke Johor dan dikesan di Kota Tinggi. Kita tahu pergerakan mereka dan mahu beri amaran supaya segera berhenti sebelum tangkapan dilakukan.

"Menerusi siasatan yang dilakukan, mereka bukan orang Johor pun (cubaan sebarkan ajaran sesat) cuma penganutnya sahaja baharu cuba masuk ke Johor, namun kita sedang menyiasat dan mencegah perkara ini dari terus berleluasa,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Agihan Manfaat Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada Ahad.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada ajaran sesat itu cuba menjadikan Johor sebagai markas penyebaran, Mohd Fared berkata, mereka belum sampai ke tahap itu.

"Mereka belum sampai peringkat tubuhkan markas tetapi kita tahu mereka baharu masuk dan merisik untuk cari pengaruh bagi menyebarkan ajaran sesat itu. Pergerakan dan perkembangan kumpulan ajaran ini sentiasa diperhatikan.

"Cuma satu yang hendak dipesan kepada rakyat Johor adalah ajaran ini dibawa dari negara jiran dan orang (pengasas) itu juga bukan beragama Islam jadi mengapa kita nak percaya pada ajaran yang dibawanya serta nak bercerita tentang agama kita pula," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fared turut memberi peringatan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba menyebarkan ajaran sesat di negeri ini.

"Saya nak beri peringatan pada siapa juga yang terdetik nak sebarkan mana-mana pun ajaran yang bersalahan dengan Islam bahawa kita ada Sesyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.

"Menjadi suatu kesalahan menyebarkan doktrin agama selain Islam. Berwaspada dan jangan dekati sebarang ajaran yang menyeleweng daripada Islam. Ia boleh didakwa di bawah enakmen itu malah boleh didakwa menerusi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya.

Sebelum itu pada 4 Ogos lalu tular video berdurasi tujuh minit 30 saat memaparkan seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Dia mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

Menerusi video terbabit, terdapat dakwaan ajaran sesat tersebut sedang aktif di Kajang dan Johor.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan telah mengenal pasti lokasi pusat operasi kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah. -Sinar Harian