KOTA BHARU: Sejumlah 11,000 karton rokok dengan nilai RM1.8 juta berjaya dirampas pada jam 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, ACP Mohd Rosdi Daud memaklumkan dua lelaki berbangsa Cina masing-masing berusia 20- dan 30-an yang berasal dari Kuala Lumpur telah ditahan.

"Sepasukan polis dari cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan telah menahan sebuah lori dan sebuah kereta jenis Toyota Vios di tepi jalan berhampiran simpang tiga lampu isyarat, bandar Ketereh, di sini.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori telah menjumpai 11,000 karton rokok jenama 'Saat' yang disyaki diseludup dan tidak bercukai," katanya menerusi satu kenyataan.

Kedua-dua suspek pemandu lori dan kereta telah ditahan dan kesemua barang kes dirampas untuk tindakan lanjut.

"Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif.

"Suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut  Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967" tambahnya.

Menurut Mohd Rosdi, kejayaan itu adalah hasil risikan dan perancangan rapi serta berfokus oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan serta strategi pengukuhan lapisan kedua penguatkuasaan dan pemantauan sempadan yang dimulakan sejak dua bulan lalu.