PORT DICKSON: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan suatu pengkhususan khas jawatan warden di setiap asrama sekolah di negara ini.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, lantikan warden berkenaan bagi membolehkan anggota penjawat awam menjalankan tugas sebagai warden secara sepenuh masa dan lebih efisien tanpa terlibat dengan komitmen tugas lain.

"Ini kerana warden bertugas ketika ini dilantik dalam kalangan guru. Selain tugas asal menjadi pendidik, mereka diberi tambahan kerja untuk menjadi warden dengan elaun tidak setimpal.

"Oleh itu, kita mencadangkan supaya wujudkan suatu pengkhususan fungsi tugas warden atau lantik terus kepada mana-mana penjawat awam berkhidmat sebagai warden dan bukannya disandang secara sambilan atau dilantik dalam kalangan guru-guru sedia ada yang mempunyai tugas lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Pemantapan Diri Penjawat Awam CUEPACS Negeri Sembilan di sini hari ini.

Adnan berkata sebelum ini terdapat perjawatan penyelia asrama tetapi sebahagiannya telah digabung dengan skim perkhidmatan lain sehingga menyebabkan tiada fokus utama bagi fungsi jawatan warden tersebut dan akhirnya tugas warden disandang oleh guru.

"Kebanyakan guru menolak tetapi ada guru menerimanya (warden) sebab ada semangat dan kasih sayang terhadap anak murid bagi memastikan mereka tidak terabai meskipun perlu berkorban masa, cuti dan urusan harian semata-mata memikirkan kebajikan serta keselamatan pelajar di asrama," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji cadangan mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama bagi menangani pelbagai masalah termasuk kes buli.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata perkara itu perlu diperhalusi berdasarkan laporan penuh kes buli yang dilaporkan termasuk kes melibatkan seorang pelajar dipercayai dibuli sekumpulan pelajar lain di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.

-- BERNAMA